< Back to Press Releases

Press Releases

Sidang Media: Rumah Terbuka Bersamamu

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 26 Ogos 2013 – Dalam kemeriahan umat Islam menyambut bulan Syawal, TV3 juga tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik. Menerusi program amal BERSAMAMU, TV3 mengadakan rumah terbuka bagi meraikan keluarga-keluarga BERSAMAMU dan anak-anak yatim di Perkarangan Sri Pentas pada hari ini. 

Sejak diperkenalkan pada 30 Mei 2005, program berbentuk amal BERSAMAMU telah memaparkan lebih daripada 400 kes kemiskinan dan keperitan. Demi membantu mereka yang serba kekurangan dan tidak berkemampuan, seluruh ceruk rantau telah dijelajahi oleh kru penerbitan. Hasil sumbangan masyarakat dan badan korporat yang prihatin bukan sahaja berjaya mengubah taraf hidup responden-responden BERSAMAMU malah  juga memberi semangat kepada anak-anak keluarga BERSAMAMU untuk meneruskan pelajaran demi masa depan yang lebih terjamin. 

Rumah Terbuka BERSAMAMU pada hari ini meraikan 4 buah keluarga BERSAMAMU iaitu Rozihan Yahaya dan Edah Jusoh, Sharul Bariah, Muhd Syukor Khalid dan Qistina Huda Hasbullah, anak-anak BERSAMAMU yang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi di Lembah Klang dan Seremban serta 40 orang anak-anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Rumah Anak Yatim Miskin Taman Baiduri, Dengkil, Yayasan Murad dan Rumah Tunas Harapan, Kuala Selangor. Selain itu, BERSAMAMU juga menampilkan 3 anak BERSAMAMU iaitu Norlizawati Mat Kawi (Along), 25 tahun, Mohd. Wahyuddin Saifuddin (Wahyu), 19 tahun dan Naufal Rozihan, 21 tahun yang akan berkongsi pengalaman bagaimana Tabung TV3 Bersamamu telah membantu dan mengubah nasib keluarga mereka.

Walaupun sudah 8 tahun bersiaran, BERSAMAMU terus mendapat perhatian daripada orang ramai dan badan korporat untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan tema “hulurkan tangan, ringankan beban”, program ini berjaya menyuntik semangat keluarga yang ditemui. Pelbagai perubahan dan perkembangan dapat dilihat di kalangan keluarga yang telah menerima bantuan melalui Tabung TV3 Bersamamu yang dihulurkan dengan kerjasama orang perseorangan mahupun badan korporat. 

Selain itu, bersempena dengan ulang tahun program BERSAMAMU yang ketujuh pada tahun 2012, sebuah syarikat korporat telah bermurah hati untuk menaja pakej umrah selama 13 hari dan 11 malam kepada 27 jemaah yang terdiri daripada 20 ahli  keluarga BERSAMAMU dan tujuh anak yatim pada 12 Mei hingga 23 Mei 2012. 

Menurut Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, “Selepas pelancaran program BERSAMAMU dan Tabung TV3 Bersamamu pada tahun 2005, kami terharu dengan sokongan orang ramai dan badan-badan korporat yang telah membantu meringankan beban di kalangan mereka yang kurang bernasib baik. Hasil sumbangan Tabung TV3 Bersamamu tidak terhad kepada responden-responden program BERSAMAMU tetapi ia juga disalurkan kepada rumah kebajikan, mangsa-mangsa bencana alam dan mereka yang menghidap penyakit kronik.”

“Dengan itu, Tabung TV3 Bersamamu tidak akan diberhentikan selagi masih ada orang yang memerlukan bantuan. Dengan sumbangan sekecil satu ringgit daripada setiap individu, ia sudah mampu mengubah kehidupan dan memberi sinar harapan kepada mereka yang daif dan serba kekurangan. Justeru, program BERSAMAMU ini tetap dengan usahanya demi melihat masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dapat hidup dengan lebih sempurna.” Tambah Encik Izham. 

Hari ini, TV3 menerusi Tabung TV3 Bersamamu juga memberikan sumbangan sebanyak RM 10,000 kepada Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Rumah Anak Yatim Miskin Taman Baiduri, Dengkil, Yayasan Murad dan Rumah Tunas Harapan, Kuala Selangor. 

Majlis rumah terbuka BERSAMAMU diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat Yang Berhormat Datuk Hajah Rohani Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Yang Berbahagia Datuk Johan Jaaffar, Pengerusi Media Prima, Encik Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rangkaian Televisyen, Media Prima, Cik Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan, TV3 & TV9 dan pihak pengurusan kanan Media Prima Berhad. Hadirin juga dihiburkan dengan persembahan daripada Shiha, Black, Muhammad Fadzlie dan Syed Umar Mokhtar (Kumpulan Bocik, Bintang Mencari Bintang) dan Mohd. Shah Rizal (Tapaw, Bintang Mencari Bintang). 

Orang ramai dan badan korporat boleh membuat sumbangan ke Tabung TV3 Bersamamu ke nombor akaun Maybank 564324129973. Tabung TV3 Bersamamu juga ditempatkan di lokasi-lokasi Karnival Jom Heboh bagi mengumpul dana daripada para pengunjung. 

Musim baru BERSAMAMU bakal menemui penonton TV3 bermula 5 September 2013, setiap hari Khamis jam 9.30 malam. Fokus kali ini lebih kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan tetapi tidak putus asa dan terus bangkit untuk mengubah kehidupan diri dan keluarga.

Krew produksi yang terbabit dalam penerbitan BERSAMAMU musim baru ini terdiri daripada Mazlin Nordin selaku Penerbit, Mohd Rose Abdullah Penolong Penerbit, Norasliza Norasikin Mohd Yusoff dan Ainul Fatehah Mohamed Arshad sebagai wartawan.

Penonton yang terlepas menyaksikan BERSAMAMU boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di www.tonton.com.my. Layari www.tv3.com.my serta Facebook, Twitter, Instagram & Youtube TV3Malaysia untuk mendapatkan berita terkini. 


Related Articles

Sidang Media: Samarinda - Fira Ayuni

Webmaster TV3

Terbaru di slot Samarinda, drama bersiri 15 episod

Read more...

Sidang Media: MYSyg

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 28 Ogos 2013 – Bersempena dengan

Read more...

Sidang Media: Asmara Luna

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 27 Ogos 2013 – Terbaru di

Read more...

Sidang Media: Majalah3 (Hokaido, Jepun)

Webmaster TV3

    Minggu ini Majalah 3 membawa penonton menjelajah

Read more...

Sidang Media: Masih Ada yang Sayang (Wanita Hari Ini)

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 20 Ogos 2013 – Tradisi kunjung

Read more...

Sidang Media: Projek3R

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 19 Ogos 2013 – 3R (Respek,

Read more...

Sidang Media: Akasia - Cinta Jannah

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 12 Ogos 2013 – Cinta tidak

Read more...

Sidang Media: Lestary - Diandra

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 16 Ogos 2013 – Mereka berdua

Read more...

Sidang Media: Karlos Bolos

Webmaster TV3

Petaling Jaya, 31 Julai 2013 – Selepas berjaya

Read more...

0 Comments posted

Displaying: 0 out of 0

You must be a registered user to comment - please login or register